- Hari ini (1 Disember 2009) satu kumpulan NGO dengan disertai oleh pemuda UMNO Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di depan bangunan SUK Kelantan. Bantahan mereka adalah berkenaan hasrat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, untuk mendoakan kehancuran UMNO dan Perdana Menteri kerana enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
- Saya terpanggil untuk cuba memahami apa yang berlaku ini.
- Adalah sesuatu yang pelik apabila isu doa Nik Aziz ini menjadi sesuatu yang diperbesarkan. Ini bukan soal beliau menzalimi orang lain. Atau bukan juga soal tuan guru menafikan hak sesiapa di Kelantan. Isunya hanyalah DOA beliau. Saya sendiri menghadapi masalah memikirkan atas alasan apa golongan yang membuat demonstrasi ini memperbesarkan isu doa ini sehingga sanggup ponteng kerja. Padahal doa adalah hak PERIBADI setiap orang Islam, sama ada dilakukan secara sendirian atau beramai-ramai. Allah s.w.t menyuruh hambaNya berdoa kepada Nya. Doa itu sendiri ibadah. Dan hanya Allah yang berhak memaqbulkan doa. Serta Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
- Adakah mereka benar-benar takut kepada doa tuan guru, takut doanya Allah maqbulkan? Jika begitu tentu dalam lubuk hati mereka mengiktiraf taraf Nik Aziz sebagai tuan guru. Mereka menjadi gentar dan gerun apabila seorang bertaraf begitu mendoakan kemusnahan mereka. Jika mereka dipihak yang benar, apa yang nak ditakutkan? Jika sebaliknya pula, mereka tidak mengiktiraf Nik Aziz sebagai ulama sebenar, apa pula isunya yang mereka cuba sampaikan? Adakah ada logik tindakan mereka ini?
- Ada beberapa orang memberi komen termasuk seorang Mufti berkenaan ketidakwajaran doa seperti ini. Katanya perbuatan Menteri Besar Kelantan ini bertentangan dengan Islam. Benarkah pendapat sebegitu?
- Saya beri contoh rumah jiran saya dimasuki pencuri. Habis hasil usaha selama ini dicuri begitu sahaja. Duit tabung anak-anak, barang kemas isteri, duit yang dikeluar untuk kenduri arwah, dan duit persekolahan anak-anak, semuanya licin. Adakah patut kita mengancam pula orang yang kecurian ini dari mendoakan laknat kepada si pencuri yang tak berhati perut ini, sama ada pencuri itu Islam atau tidak? Adakah doa sebegini haram? Tidakkah doa adalah senjata mukmin? Tidakkah doa orang-orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah s.w.t?
- Memaafkan adalah lebih baik, betul, itulah seruan di dalam Al-Quran. Tetapi meletakkan hukum haram pada mendoakan kemudharatan orang yang menzalimi adalah sesuatu yang lain. Tidakkah mengharamkan yang halal “Qarinul Syirk”.
- Dalam isu ini, rakyat Kelantan di curi hasil bumi dan laut mereka tanpa mendapat pampasan yang telah dipersetujui dahulu. Pampasan royalti tersebut adalah sumpah PETRONAS semasa perjanjian dibuat. Selama ini rakyat Kelantan dizalimi. Hasrat mereka adalah untuk menuntuk hak. Wakil mereka adalah Menteri Besar. Tentu kita faham siapa yang menzalim dan siapa yang dizalimi.
- Tuan Guru jika berdoa tidaklah menelan belanja berjuta-juta. Beliau cuma mengangkat tangan dan memohon kepada Allah s.w.t. Golongan yang menentangnya tidaklah perlu risau sama ada perbendaharan negeri akan digunakan untuk berdoa ini. Dan mereka tidak perlu juga takut jika mereka dipihak yang benar. Jika mereka beria-ia juga menghalang Nik Aziz dari berdoa, seolah-olah mereka tidak yakin bahawa Allah s.w.t tidak akan menzalimi hamba Nya.
- Kegopohan tindakan golongan yang mengkritik hasrat untuk berdoa ini hanya menyerlahkan niat sebenar mereka, iaitu untuk kepentingan politik, untuk menjatuhkan kerajaan Islam Kelantan. Jadi perkara ini diperbesarkan untuk memberi tekanan.
- Saya teringat hadis yang panjang di dalam Sahih Muslim berkenaan dengan peristiwa kedatangan Dajjal. Dajjal akan mendatangani sesuatu negeri lalu di tunjukkan dunia dan nikmatnya di hadapan mereka supaya mereka bergantung kepadanya dan melepaskan pergantungan kepada Allah s.w.t. Sesiapa yang tetap berpegang kepada taqwa dan amalan-amalan soleh akan menderita dengan kesempitan rezqi dan kekejamanya.
Wa Allahu a’lam.
No comments:
Post a Comment